Pearly-Thinaah masih terima gaji dari BAM

Pearly-Thinaah masih terima gaji dari BAM

PEARLY-Thinaah masih belum menandatangani kontrak baharu dengan BAM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu isu kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah diselesaikan segera demi kestabilan pasukan kebangsaan.

Ketika ini, pasangan No.3 dunia itu masih menikmati gaji dan kemudahan penuh daripada BAM meskipun kontrak asal mereka bersama badan induk badminton negara itu telah berakhir sejak Disember tahun lalu.

Zafrul menjelaskan bahawa pemain yang bergaji tetap akan terus menerima bayaran selagi perkara itu dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak.

“Kalau tak ada kontrak, tak ada terima. Tetapi bila dah terima gaji, itu maknanya dia memang masih dalam sistem kita,” kata Zafrul kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Beliau turut mengarahkan pihak pengurusan untuk menyegerakan rundingan kerana tidak mahu isu luar gelanggang menjejaskan tumpuan pemain.

Jelas beliau, ketidaktentuan status boleh mengganggu persiapan dan prestasi atlet di peringkat antarabangsa.

“Secara peribadi, saya dah minta pihak pengurusan untuk selesaikan secepat mungkin kerana kita nak pemain boleh fokus sepenuhnya,” ujarnya.

Zafrul juga mahu semua pemain utama dikekalkan dalam sistem BAM bagi menjamin kesinambungan program pembangunan dan pencapaian negara.

“Saya percaya pemain pun nak kepastian kerana perkara sebegini boleh ganggu fokus mereka di gelanggang. Yang penting, saya nak semua pemain kekal bersama BAM dan pengurusan kena pastikan perkara ini diurus sebaiknya,” katanya.

Buat masa ini, Pearly-Thinaah kekal sebagai pemain utama negara dengan status kontrak yang masih dalam rundingan bersama pengurusan tertinggi BAM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN