Jawatankuasa RTG masih ‘buka pintu’ buat Zii Jia

Jawatankuasa RTG masih ‘buka pintu’ buat Zii Jia

LEE Zii Jia mengambil keputusan untuk tidak menyertai program RTG yang menjadi persediaan ke LA2028.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan menyertai program Road To Gold (RTG) bagi persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Menteri Belia dan Sukan,Hannah Yeoh, berkata, keputusan pemain berusia 26 tahun itu dibuat atas sebab tertentu dan pihak kementerian menghormati pendiriannya.

“Zii Jia telah menyatakan keputusan untuk tidak menyertai program RTG atas alasan tersendiri. Justeru, Jawatankuasa RTG menghormati keputusan beliau dan kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuknya.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Zii Jia. Dalam perjumpaan kami, beliau telah memberikan banyak maklum balas yang sangat baik mengenai RTG dan sokongan yang boleh diberikan kepada atlet profesional.

“Bagaimanapun, keputusan akhir tetap di tangan atlet dan Zii Jia telah membuat pilihan untuk tidak bersama (RTG). Jadi, kita hormati keputusan tersebut,” kata Hannah dalam sidang akhbar, semalam.

Untuk rekod, ini kali kedua Zii Jia menolak untuk menyertai RTG selepas mengambil keputusan sama apabila namanya tersenarai dalam program RTG semasa persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan pintu masih terbuka kepada bekas juara All England itu sekiranya dia berubah fikiran pada masa akan datang untuk menyertai RTG.

Dalam pada itu, pasukan pengurusan pemain itu, Team LZJ merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa RTG terutamanya Hannah yang terus memberikan kepercayaan dan peluang kepada pemain tersebut.

“Selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, kami memutuskan untuk tidak menyertai RTG pada waktu ini. RTG adalah program yang diperuntukkan untuk yang terbaik dalam negara.

“Memandangkan Zii Jia masih dalam proses pemulihan kecederaan, kami merasakan adalah lebih wajar peluang serta bantuan diberikan kepada rakan-rakan atlet lain yang lebih memerlukannya ketika ini,”kata Team LZJ dalam satu kenyataan.

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas pada temasya LA2028.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN