Dulu 'pengurus' permainan FIFA di Playstation, kini bina legasi bola sepak tempatan

Dulu ‘pengurus’ permainan FIFA di Playstation, kini bina legasi bola sepak tempatan

Tunku Mahkota Ismail memberikan kata-kata semangat terakhir sebelum Harimau Malaya bertemu Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekadar cerita manis seorang pewaris takhta, kisah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, , yang pernah bermain permainan FIFA di Playstation kini menjadi ia satu simbol bagaimana visi dimilikinya sejak kecil dijelmakan dalam dunia sebenar.

Perkongsian menyentuh hati daripada bondanya, Raja Zarith Sofiah, sempena ulang tahun kelahiran baginda ke-41 mendedahkan sisi peribadi TMJ yang jarang dikongsi kepada umum.

“Saya juga masih ingat bagaimana Tunku Mahkota selalu meminta saya membelikan Playstation untuknya. Setiap kali versi baharu dijual, dia akan teruja meminta saya membelikannya,” ujar Raja Zarith.

Apa yang lebih menarik, TMJ dilihat bukan sekadar bermain untuk suka-suka.

Ketika ditanya permainan apa yang sedang dimainkan, baginda menjawab, “Teak (nama timangan TMJ) mesti pilih pengurus bola sepak dan Teak perlu pilih pemain yang sesuai untuk pasukan bola sepak Teak.”

Kenyataan itu mungkin kedengaran biasa bagi seorang kanak-kanak, tetapi hari ini kita saksikan bagaimana baginda benar-benar merealisasikan permainan itu di pentas sebenar.

Hari ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sekadar pasukan bola sepak biasa.

Di bawah naungan TMJ, JDT telah mendominasi Liga Malaysia dengan menjuarai 11 musim Liga Super berturut-turut (2014–2025), muncul juara Piala AFC 2015, satu pencapaian pertama dalam sejarah Malaysia, dan kini menjadi wakil negara yang konsisten dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Johor kini bukan sahaja berada di tangga teratas bola sepak tempatan, malah telah menetapkan piawaian profesionalisme dan pengurusan kelab yang dicemburui di rantau ini.

Kompleks latihan canggih JDT, padang berkelas dunia, pengurusan teknikal bertaraf antarabangsa serta keupayaan menarik pemain-pemain import ternama semuanya adalah manifestasi visi seorang anak raja yang dahulunya bermain FIFA untuk ‘melatih’ diri sebagai pengurus pasukan.

TMJ juga menekankan aspek pembangunan akar umbi, membentuk akademi bola sepak bertaraf tinggi, serta membawa masuk teknologi sukan dan sains pemulihan yang memacu prestasi pemain.

JDT kini menjadi rujukan bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi dalam aspek pengurusan, pemasaran, dan hubungan penyokong.

Hari ini, Johor bukan sahaja gah dalam sukan bola sepak, tetapi juga menjadi simbol keunggulan, keberanian, dan kemajuan.

Semua ini bermula daripada impian kecil seorang anak raja yang telah membuktikan bahawa tidak ada apa yang mustahil jika kita berani memiliki cita-cita besar dan bertindak bagi merealisasikannya.

Selamat ulang tahun ke-41 Tunku Ismail. Daulat Tuanku.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN