Cklamovski janji ‘kejutan’ pada September

Cklamovski janji ‘kejutan’ pada September

AKSI skuad Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjanjikan kejutan buat peminat bola sepat tempatan menjelang kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1 hingga 9 September depan.

Pengendali kelahiran Australia itu berkata, pihak pengurusan telah memiliki perancangan terbaik untuk persiapan pasukan kebangsaan, namun ketika ini masih terlalu awal untuk perkara itu diumumkan.

Jelasnya, aksi persahabatan yang bakal diatur dalam tempoh tiga bulan akan datang cukup penting buat pasukan sebagai persiapan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung semula pada Oktober nanti.

“Semua teruja dengan apa yang akan berlaku pada September depan. Semua tahu kita tiada aksi kelayakan Piala Asia 2027 ketika itu. Namun, kita akan gunakan tempoh tersebut untuk mencabar keupayaan dengan mengatur perlawanan menentang pasukan yang kuat.

“Cuma, bukan tugas saya untuk dedahkan (kepada umum) dan biarkan pihak pengurusan skuad kebangsaan yang akan memaklumkannya kelak.

“Apa yang pasti, semua orang akan teruja kerana ini akan menjadi cabaran yang sukar dan menguji kami, sekali gus mempersiapkan pasukan sebelum kalendar Oktober depan,” katanya.

Harimau Malaya ketika ini mencatat rekod bersih dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 apabila mengutip enam mata penuh susulan kemenangan ke atas Nepal 2-0 pada aksi pertama, kemudiannya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

Keputusan itu meletakkan Malaysia memimpin Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dan jika momentum ini mampu diteruskan maka tiket ke Arab Saudi bakal menjadi milik skuad kendalian Cklamovski.

Difahamkan, pasukan yang bakal menjadi lawan skuad kebangsaan pada September ini adalah pasukan dalam ranking kelompok 100 terbaik dunia meskipun tiada sebarang pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pendekatan itu diambil FAM dengan tidak mendedahkan lawan lebih awal dilakukan dalam beberapa kalendar antarabangsa sejak dua tahun terakhir seperti pertemuan menentang Cape Verde, New Zealand, China dan Syria.

Situasi itu juga menjadi faktor, badan induk bola sepak negara itu terpaksa menolak pelawaan Indonesia yang menduduki ranking ke-123 dunia untuk aksi persahabatan di Jakarta pada September depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN