Anak tempatan galas misi B-23 di Jakarta

Anak tempatan galas misi B-23 di Jakarta

NAFUZI (kanan) dalam sidang akhbar di FAM, kelmarin.- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara akan dibarisi 100 peratus anak tempatan bagi menghadapi saingan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia.

Pengendali skuad B-23 negara, Nafuzi Zain berkata, hanya pemain tempatan akan dipanggil ke kem latihan pusat yang bakal bermula tidak lama lagi.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pemain muda daripada Liga Malaysia (Liga M) menyerlahkan potensi mereka di pentas Asia Tenggara.

“Kita hanya guna anak tempatan. Ramai pemain muda berpotensi dan mereka perlu diberi peluang. Kita nilai berdasarkan karakter dan kesesuaian dengan corak permainan pasukan,” katanya.

Antara nama yang dijangka kembali menyertai skuad B-23 adalah Haqimi Azim Rosli dan Ubaidullah Shamsul Fazili yang sebelum ini pernah bersama kem senior.

Turut mencuri perhatian adalah kehadiran beberapa pemain baharu yang belum pernah mewakili negara sebelum ini, termasuk daripada skuad B-19.

“Sesetengah mereka dah biasa dengan sistem B-23, tapi ada juga muka baharu yang kita nak cuba. Kita tak mahu terlalu bergantung kepada kelompok sama,” ujarnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei, menjadikan ia satu-satunya kumpulan yang membariskan empat pasukan.

Hanya juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke pusingan seterusnya, sekali gus menjadikan setiap aksi adalah sangat penting.

Mengulas persaingan dalam kumpulan itu, Nafuzi menegaskan semua pasukan dilihat memiliki peluang seimbang, namun fokus utama ketika ini adalah aksi pertama menentang Filipina.

“Perlawanan pertama sangat penting, itu akan tentukan momentum kita. Lepas itu baru kita fokus lawan Indonesia dan Brunei,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN