MUNICH: Pertahanan berpengalaman Inter Milan, Francesco Acerbi mengumumkan pengunduran dirinya daripada skuad kebangsaan Itali, sehari selepas kekalahan memalukan pasukannya 0-5 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah.
Acerbi, 37, yang kali terakhir beraksi untuk Azzurri pada November 2023, dipanggil semula oleh ketua jurulatih, Luciano Spalletti untuk aksi kelayakan Piala Dunia susulan prestasi cemerlangnya bersama Inter, termasuk jaringan penting ketika menentang Barcelona dalam separuh akhir.
Bagaimanapun, keputusan Acerbi untuk menarik diri disampaikan secara rasmi pada Ahad, selepas beliau bertemu Spalletti pada pagi yang sama.
“Saya merasakan bahawa, berdasarkan peristiwa baru-baru ini, syarat untuk meneruskan laluan ini secara aman tidak wujud hari ini.
“Saya tidak mencari alasan, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya hanya menuntut penghormatan. Jika penghormatan itu tiada daripada mereka yang sepatutnya memimpin, maka saya lebih rela berundur,” kata Acerbi menerusi satu kenyataan di media sosialnya.
Acerbi tidak menjelaskan secara terperinci bentuk ketidak-hormatan yang dimaksudkan, namun kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Spalletti memberi komen mengenai situasi pemain tersebut dalam satu sidang media.
“Bagi saya, Acerbi seorang pemain bernilai. Kami tahu dia mempunyai beberapa isu kecederaan, dan dia baru menjalani pembedahan. Ketika itu saya beri peluang kepada pertahanan lain,” jelas Spalletti.
Sebelum ini, pada Mac lalu selepas Itali tersingkir di peringkat suku akhir Liga Negara-Negara UEFA kepada Jerman, Spalletti pernah menjawab soalan mengenai kemungkinan memanggil semula Acerbi dengan bertanya kembali: “Adakah anda tahu berapa umur Acerbi?”
Itali dijadual memulakan kempen Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Norway di tempat lawan pada 6 Jun sebelum melayan kunjungan Moldova tiga hari kemudian.-UTUSAN