MIAMI: Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata dia tidak berasa ragu-ragu bahawa McLaren beroperasi mengikut peraturan Formula Satu (F1) walaupun terdapat syak wasangka berhubung keupayaan mereka mengurus tayar yang luar biasa.
Pengurusan tayar yang cekap menjadi ciri utama jentera McLaren bagi musim 2025, di tengah-tengah permulaan musim yang dominan apabila pasukan itu memenangi lima daripada enam pusingan pembukaan dan mendahului kedua-dua kejuaraan dunia.
Pelumba McLaren, Oscar Piastri mendahului rakan sepasukan, Lando Norris untuk satu lagi kemenangan 1-2 yang meyakinkan di Grand Prix (GP) Miami, dengan pelumba Mercedes, George Russell ketinggalan sejauh 37.644 saat (s) di tempat ketiga.
Terdapat dakwaan daripada Red Bull bahawa McLaren mungkin memanipulasi peraturan berkaitan cara mereka menyejukkan tayar dan seterusnya mengurangkan kadar kehausan tayar sepanjang jarak perlumbaan.
“Saya fikir pasukan di bawah Zak (Brown), Andrea (Stella), Rob Marshall… mereka ini orang yang baik dan berintegriti.
“Kalau dahulu, kita sering berkata: ‘Mari kita lihat sama ada ada perkara yang meragukan’, tetapi saya tidak ragu bahawa mereka (McLaren) kekal mematuhi peraturan.
“Ia hanya satu pembangunan yang sangat baik terhadap kereta itu. Mereka memahami cara mengurus tayar dengan jauh lebih baik daripada pasukan lain dan, pada pendapat saya, ia adalah sepenuhnya sah,” kata Wolff.
Wolff turut menyindir rakan sejawatannya dari Red Bull, Christian Horner, dengan menyatakan bahawa adalah tidak wajar untuk membuat tuduhan hanya kerana pasukan pesaing melakukan kerja yang lebih baik.
“Dari sudut pengurusan pasukan juga, kita tidak sepatutnya… apabila seseorang melakukan kerja yang lebih baik daripada kita, kita tidak patut berkata: ‘Mereka menipu’, kerana itu bukan sikap yang betul,” tambahnya. –UTUSAN