MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan kelab tersebut.
Ini kerana sejurus kekalahan United kepada West Ham dalam aksi liga, Ahad lalu, Amorim berkata jika dia tidak dapat menyelesaikan masalah kelab menjelang musim depan, maka United perlu mencari seseorang yang mampu melakukannya.
Kenyataan itu telah ditafsirkan sebagai isyarat bahawa bekas pengendali Sporting itu mula sedar bahawa tugas yang dipikul mungkin terlalu berat untuknya.
Namun begitu, dalam satu taklimat UEFA di Old Trafford sempena final Liga Europa di antara United menentang Tottenham pada 21 Mei ini, Amorim menafikan tanggapan tersebut.
“Saya jauh sekali daripada mahu berhenti. Saya mempunyai idea yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan dan saya faham masalah dalam pasukan.
“Sejak saya tiba di sini, saya sentiasa bercakap mengenai standard. Saya tidak boleh melihat pasukan mengalami keputusan seperti ini, terutamanya dalam liga, tanpa berkata apa-apa atau mengambil tanggungjawab.
“Apa yang saya katakan ialah kami perlu menunjukkan prestasi atau pihak atasan kelab akan menggantikan kami. Itu perkara biasa,” katanya.
Walaupun Amorim telah membawa United ke final kejohanan Eropah buat kali ketiga sejak 2011, prestasi pasukannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sangat mengecewakan.
Mereka kini berada di tangga ke-16 menjelang dua perlawanan terakhir musim ini dan berdepan kemungkinan mengakhiri musim dengan kedudukan terburuk sejak kempen penyingkiran 1973-74. – AGENSI