PSM sedia beri imbuhan kepada pemenang Piala Asia

PSM sedia beri imbuhan kepada pemenang Piala Asia

PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran STL 2025 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara bakal menerima imbuhan hasil kejayaan manis merangkul dua gelaran dalam Kejohanan Piala Asia 2025 yang berlangsung minggu lalu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, ganjaran itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Namun begitu, beliau menjelaskan, pemberian insentif tersebut bergantung kepada kemampuan kewangan persatuan.

“Memang ada (ganjaran). Apa yang termampu, kita akan beri. Itu janji saya. PSM pun bukan ada banyak duit, jadi kita bagi sekadar yang termampu,” katanya selepas majlis pelancaran Liga Sepaktakraw(STL) Malaysia.

Menurut Sumali, pihaknya juga akan membuat permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar dapat mempertimbangkan imbuhan tambahan buat para pemain.

“Kita ada imbuhan sedikit, dan PSM akan beri apa yang termampu. Saya juga akan mohon secara rasmi kepada KBS dan MSN supaya dapat pertimbangkan pemberian ganjaran kepada pemain yang menang emas, dan kalau perak pun Alhamdulillah.

“Saya tak boleh umumkan jumlah, tapi bonus tetap ada walaupun sekadar yang termampu,” katanya.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran STL 2025 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika diminta mengulas berkata, setakat ini Piala Asia belum tersenarai dalam kejohanan yang diiktiraf oleh MSN.

“Buat masa ini, Majlis Sukan Negara belum menyenaraikan Piala Asia sebagai kejohanan tersenarai. Yang ada cuma Kejohanan Asia, tetapi jika ada permohonan daripada persatuan sukan, MSN akan melihat dan mempertimbangkannya,” katanya ringkas.

Dalam kejohanan Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara dalam acara regu dan kuadran, sekali gus membuktikan kematangan serta kekuatan skuad negara di peringkat benua.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN