SUBANG JAYA: Pasukan ragbi Muamalat Bullets mengintai peluang untuk mencipta sejarah merangkul gelaran hatrik apabila turun menentang Majlis Bandaraya Diraja Klang (MDBK) Royal Town Warriors dalam aksi final Corporate Super Rugby (CSR) 2025 yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.
Pembantu pengurus pasukan, Adam Abdullah berkata, skuad kendalian mereka berada dalam keadaan terbaik dan penuh keyakinan untuk merangkul kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
Lebih manis, katanya, kekuatan Muamalat Bullets turut diperkukuhkan dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan Bunga Raya 15’s yang baru pulang daripada tugasan antarabangsa menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025.
“Persiapan rapi sudah kami lakukan dan pemain kini berada dalam momentum terbaik menjelang aksi kemuncak menentang pasukan yang pernah kami hadapi dalam final edisi 2023.
“Kami tampil dengan barisan yang lebih berpengalaman untuk memastikan sasaran hatrik ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar khas di Subang Jaya.
Dalam pada itu, jurulatih MDBK Royal Town Warriors tampil memberi amaran bahawa skuad kendaliannya bukan sekadar pelengkap jadual, malah bersedia mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri.
“Muamalat Bullets adalah pasukan yang kuat dan kami menghormati kekuatan mereka, tetapi ia bukan bermakna kami akan menyerah awal.
“Aksi di gelanggang sendiri bakal menjadi kelebihan buat kami dan saya percaya pemain akan memberikan tentangan habis-habisan bagi merebut kejuaraan,” katanya.
Untuk rekod, Muamalat Bullets merupakan juara bagi edisi lepas selepas mengatasi Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Patriots, 21-9 dalam perlawanan akhir.-UTUSAN