Malaysia gagal tamatkan kemarau 34 tahun

Malaysia gagal tamatkan kemarau 34 tahun

AKSI pemain Malaysia, Noraizat Nordin menahan libasan bola dari pasukan Thailand pada perlawanan akhir acara berpasukan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk kembali bergelar raja acara regu berpasukan masih tertangguh apabila skuad negara tunduk 0‑2 kepada seteru utama, Thailand, pada final Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Kekalahan di laman sendiri itu memaksa anak‑didik Ahmad Jais Baharun berpuas hati dengan dua kejuaraan iaitu kuadran dan regu sekali gus menyaksikan penantian menamatkan dominasi “Gajah Putih” berusia 34 tahun itu masih berterusan.

Di hadapan lebih 1,000 penyokong yang membanjiri arena, regu pertama negara yang diwakili Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias ​​(apit kanan) mempamerkan  semangat juang luar biasa.

Mereka bangkit selepas tewas 11‑15 pada set pembukaan, menyamakan kedudukan 15‑12, namun akur terkulai 15‑17 dalam pertarungan lebih dua jam.

Regu kedua pula yang membariskan Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin berjaya memenangi set pertama 15‑13.

Bagaimanapun, harapan itu mati apabila Thailand yang diwakili Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon  bangkit 15‑13, 15‑4 untuk melengkapkan kemenangan.

Kekalahan ini bermakna misi memecah kebuntuan 34 tahun terus menjadi igauan skuad kebangsaan, manakala Thailand sekali lagi mengukuhkan status mereka selaku kuasa besar sepak takraw Asia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN