KUALA LUMPUR: Spekulasi siapa bakal menerajui kerusi panas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum terjawab sepenuhnya walaupun hanya berbaki beberapa hari sebelum pemilihan rasmi pada Sabtu ini.
Nama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kini menjadi tumpuan utama, selepas dicalonkan sebulat suara oleh Ahli Majlis badan induk itu, namun beliau belum boleh ‘mendabik dada’ sebagai Presiden.
Ini kerana perlembagaan BAM tidak menetapkan tarikh tutup pencalonan, membolehkan sesiapa sahaja tampil mencabar kedudukan beliau walaupun pada saat akhir menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sabtu nanti.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan bahawa semua persiapan menjelang AGM berjalan lancar dengan mesyuarat penuh Ahli Majlis akan diadakan seawal pukul 9.30 pagi, sebelum sesi pemilihan bermula pada tengah hari.
“Persiapan untuk AGM seperti biasa dijangka bermula pukul 12 tengah hari dan sebelum itu kita ada mesyuarat Ahli Majlis pada pukul 9.30 pagi. Disebabkan perlembagaan BAM tiada had masa untuk pencalonan, maka mana-mana pencalonan masih boleh dikemukakan.
“Setakat kita tahu, Tengku Zafrul merupakan calon yang dicadangkan Ahli Majlis secara sah. Kalau ada pencalonan lain, ia akan diputuskan pada hari pemilihan itu,” kata Kenny ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Nama Tengku Zafrul sudah lama dikaitkan dengan kerusi No.1 BAM, bahkan hampir diangkat sebagai presiden tahun lalu, namun diminta menangguhkan pengambilalihan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sehingga tamat temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Kini, laluan dilihat terbuka luas buat beliau, namun tidak mustahil ‘penyertaan mengejut’ boleh berlaku, lebih-lebih lagi selepas Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA), Datuk Seri Khairuddin Abd. Samad pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding.
Pada 25 Mac lalu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengesahkan majoriti Ahli Majlis telah mencapai kata sepakat mencalonkan Tengku Zafrul bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang akan mengundurkan diri selepas hampir sedekad memimpin.