Elak percaya persepsi buruk 'boikot' Liga M

Elak percaya persepsi buruk ‘boikot’ Liga M

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis sukan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim khuatir jika minda pemegang taruh bola sepak tempatan terpedaya dengan gerakan pihak tertentu yang cuba merosakkan Liga Malaysia (Liga M).

Jelasnya, persepsi buruk yang ditimbulkan segelintir pihak itu tidak membantu kepada pembangunan bola sepak negara yang ketika ini amat memerlukan sokongan semua pihak bersatu untuk bergerak ke depan.

“Kita dapat lihat pelbagai persepsi buruk ditimbulkan terhadap Liga M sedangkan ia tidaklah seperti yang didakwa. Saya tidak tahu kenapa timbul isu kelab tarik diri sedangkan keputusan siapa yang dapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi musim depan belum lagi diumumkan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

“Bagaimana ada kelab tarik diri sedangkan mereka belum mendapat lesen. Jika kelab itu tidak dapat lesen, itu adalah disebabkan mereka tidak memenuhi kriteria pelesenan yang ditetapkan oleh MFL dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk menjadi sebuah kelab profesional.

“Kriteria yang ditetapkan seperti kewangan, pentadbiran, fasiliti adalah sama atau lebih kurang sama dengan liga luar negara, jadi jika kita tidak ikut, bola sepak negara pasti akan ketinggalan,” katanya.

Berapa jumlah pasukan dalam Liga M terus menjadi topik hangat dibincangkan dalam arena sukan bola sepak tempatan berikutan rentetan tunggakan gaji berbulan-bulan dihadapi beberapa kelab ketika saingan Liga Super musim 2024-2025.

Tambahan, Badan bebas First Instance Body (FIB) sendiri masih belum membuat keputusan berkenaan kelulusan Lesen Kebangsaan 2025-2026 meskipun tarikah akhir penyerahan dokumen berakhir 10 Mei lalu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan FIB perlu bertegas dengan kelab yang memohon untuk beraksi dalam Liga M, sedangkan mereka masih berdepan dengan masalah kewangan kronik termasuk tunggakan gaji pemainnya.

Zulakbal yang juga pemegang Diploma Kejurulatihan Profesional AFC menegaskan ‘gerakan’ untuk memboikot Liga M adalah perbuatan yang tidak bermoral dan ia bakal memberi kesan kepada banyak pihak.

“Tidak perlu lah sampai ada gerakan boikot Liga M, dakyah itu akhirnya akan merugikan banyak pihak, bukan saja kepada pemain, malah pegawai pasukan, petugas perlawanan, petugas stadium sehingga ke peniaga-peniaga kecil pun boleh hilang pendapatan,”ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×