PETALING JAYA: Jaguh larian denai negara, Aqmal Adzmi mengekalkan dominasi di pentas Janda Baik Ultra 2025 apabila mempertahankan kejuaraan 100 kilometer (km) lelaki di kampung halamannya, Bentong.
Perlumbaan yang disertai hampir 2,000 peserta dari 19 negara itu menyaksikan Aqmal mencatat masa 18 jam 33 minit 54 saat (s) untuk menewaskan pelari Jepun, Takio Fukumoto (18:57:53s) dan rakan senegara, Zulhusni Ibrahim (19:55:14s).
Aqmal berkata kemenangan kali ini lebih bermakna kerana diraikan di tanah kelahiran sendiri, biarpun terpaksa berdepan laluan sukar yang lebih panjang serta keadaan trek yang mencabar.
Anak jati Bentong itu turut menyifatkan perlumbaan berkenaan sebagai pengalaman peribadi yang penuh nilai emosi apabila kampungnya menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.
“Perlumbaan tahun ini jauh lebih mencabar dengan tambahan jarak, ketinggian dan keadaan laluan yang sukar akibat hujan.
“Namun saya menikmati setiap saat dan menang sekali lagi di kampung halaman saya di Bentong menjadikan ia lebih bermakna,” kata Aqmal.
Janda Baik Ultra menjadi antara medan persediaan Aqmal menjelang Kejohanan Dunia Larian Gunung dan Denai di Sepanyol, sekali gus bakal mewakili negara buat kali kedua selepas Austria 2023.
Dalam pada itu, pelari wanita negara, Poo Lai Kuen pula muncul juara 100km wanita dengan catatan 25:55:01s selepas menewaskan cabaran Long Fengju dari China (26:57:44s) dan Nor Shahirah Nasir (29:41:18s).
Sementara itu, pengarah perlumbaan Jeff Ooi menyifatkan penganjuran edisi kali ini mencatat sambutan luar biasa apabila hampir 2,000 peserta dari 19 negara menyertai perlumbaan dalam enam kategori yang dipertandingkan.
“Tenaga sepanjang dua hari perlumbaan memang luar biasa, daripada pelari elit hinggalah penyertaan kali pertama, semuanya membawa semangat tersendiri menawan laluan mencabar di Janda Baik,” kata Jeff.
Janda Baik Ultra turut menawarkan mata penting bagi Indeks Persatuan Larian Denai Antarabangsa (ITRA) dan Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) yang menjadi keperluan untuk kelayakan ke pentas dunia. – UTUSAN