Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah isi slot separuh akhir Terbuka Thailand

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah isi slot separuh akhir Terbuka Thailand

AARON Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025, di Bangkok, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah menepati status mereka sebagai pasangan pilihan selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pada suku akhir, juara Asia dan juga beregu No. 5 dunia, Aaron-Wooi Yik seperti dijangka menewaskan rakan seperjuangan, Arif Junaidi-Yap Roy King 21-12, 21-13 dalam masa 28 minit.

Diletakkan sebagai pilihan kedua, menanti mereka di separuh akhir ialah gandingan tuan rumah yang menghuni ranking ke-16 dunia, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Kedren-Puavaranukroh mencipta kejutan ke atas pasangan No. 8 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 21-18, 21-13 dalam masa 37 minit.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, Pearly-Thinaah mencerahkan peluang merangkul gelaran sulung tahun ini.

Gandingan No. 4 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-11 dalam masa 34 minit.

Menanti Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu pada peringkat empat terbaik ialah pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara.

Pasangan pecah ganding, Hirokami-Hobara yang menghuni ranking ke-244 dunia tersebut mencipta kejutan ke atas beregu No. 51 dunia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose dari Indonesia 21-9, 21-16 dalam masa 49 minit.

Kali terakhir Pearly-Thinaah merangkul gelaran ialah pada Terbuka Hong Kong, tahun lepas, sebuah kejohanan yang memiliki status sama dengan Terbuka Thailand iaitu Super 500.

Kejayaan terbesar dicatat Pearly-Thinaah sepanjang karier mereka ialah pada Terbuka Perancis yang berstatus Super 750.

Pencapaian baik di Bangkok, sekurang-kurangnya boleh dijadikan sebagai penyuntik semangat menjelang pertandingan di laman sendiri iaitu Malaysia Masters yang bermula, Selasa ini.

Pearly-Thinaah tidak mempunyai rekod yang positif di tanah air sendiri dengan pencapaian terbaik mereka di Axiata Arena ialah layak sehingga ke separuh akhir Malaysia Masters, dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN