PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek melahirkan kebimbangannya tentang kemerosotan beberapa pemain utama negara yang gagal menyerlah seawal pusingan Kejohanan Seluruh England apabila tewas kepada lawan yang lebih rendah rankingnya.
Razif berkata, kegagalan beberapa pemain senior melangkah jauh menunjukkan persediaan mereka tidak cukup mantap, atau mungkin kelemahan mental dan strategi dalam gelanggang.
“Saya cukup kecewa melihat keputusan ini. Seluruh England adalah kejohanan bersejarah yang sepatutnya menjadi medan terbaik buat pemain negara untuk membuktikan keupayaan mereka di peringkat tertinggi.
“Namun, apa yang berlaku kali ini amat mengecewakan. Kita tidak boleh hanya berharap kepada faktor nasib. Pemain sepatutnya turun dengan mentaliti juara dan bertarung habis-habisan.
“Jika keadaan ini berterusan, badminton Malaysia akan semakin merudum dan hilang taring di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam aksi pusingan pertama kelmarin, pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia tumbang kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long 21-19, 16-21, 12-21.
Lebih malang lagi, beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di tangga No. 5 dunia turut ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan ke-15 dunia, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 16-21, 21-16, 18-21 dalam masa 1 jam 2 minit.
Dalam pada itu, Razif turut menekankan kepentingan program pembangunan bakat yang lebih sistematik bagi memastikan Malaysia dapat melahirkan pemain yang benar-benar kompetitif. – UTUSAN










