JAKARTA: Kemenangan ke atas Arab Saudi menambah keyakinan pengendali Indonesia, Shin Tae-yong untuk membawa pasukan Sang Garuda itu mara ke Piala Dunia 2026.
Dua gol menerusi Marselino Ferdinan membantu Indonesia melakar kemenangan 2-0 ke atas Arab Saudi 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.
Keputusan itu membolehkan Sang Garuda mengumpul enam mata selain turut melonjak ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan C dan ia adalah kemenangan pertama mereka dalam kempen kali ini.
“Kemenangan malam ini (semalam) membuka peluang untuk kita mencapai sasaran kita (layak ke Piala Dunia). Indonesia perlu akhiri saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga sekurang-kurangnya.
“Berbaki dua perlawanan lagi di laman sendiri, ia perlu dimanfaatkan dengan mengutip mata penuh. Saya dan pemain yakin kami mampu melakukannya.
“Kemenangan ini memberi motivasi besar untuk pemain berusaha keras untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata Tae-yong.
Marselino membuka tirai jaringan pada minit ke-32 selepas menerima umpanan Ragnar Oratmangoen sebelum sekali lagi merobek gawang pelawat pada babak kedua.
Pemain berusia 20 tahun itu menemui jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57 dengan Arab Saudi jelas semakin tertekan untuk terus cuba memecahkan kebuntuan jaringan mereka.
Pada minit ke-89, skuad tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Justin Hubner dilayangkan kad merah dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.- AGENSI/UTUSAN










