LONDON: Manchester City terus dirundung malang apabila kalah buat kali keempat selepas tunduk kepada Brighton 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi ini.
City tewas kepada Bournemouth minggu lalu, kecundang kepada Tottenham 2-1 dalam Piala Liga sebelum dibelasah Sporting Lisbon 4-1 dalam kempen Liga Juara-Juara yang sebelum ini tidak berlaku dalam kempen cemerlang sepanjang tahun lalu dalam karier pengendalinya, Pep Guardiola.
City seolah-olah akan bangkit daripada keputusan suram sebelum ini apabila Erling Haaland meledak jaringan ke-15 pada minit ke-23, namun Seagulls bangkit untuk meletakkan permainan kembali rancak menerusi jaringan penyamaan pemain gantian Joao Pedro pada minit ke-78.
Usaha City untuk mencari kemenangan buntu, sebaliknya anak buah Guardiola terus dihukum apabila pemain gantian yang baru dibeli dari Celtic, Matt O’Riley menyumbat jaringan kemenangan pada minit ke-83 sebelum wisel penamat.
Sementara itu, Wolves mendaki kedudukan liga selepas menewaskan Southampton 2-0 manakala Brentford bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum menang 3-2 ke atas Bournemouth. – AFP/UTUSAN










