Nasib boling padang ditentukan hari ini 

Nasib boling padang ditentukan hari ini 

Thailand sepatutnya tidak mempunyai masalah memasukkan sukan itu dalam Sukan SEA 2025 berikutan mereka pernah menganjurkan Kejohanan Boling Padang Asia di Pattaya, Mac lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran sukan boling padang di Sukan SEA 2025 Thailand bakal terjawab apabila Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengadakan mesyuarat bersama tuan rumah di Bangkok, hari ini. 

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz yang berkata, sebanyak empat negara termasuk Malaysia telah menyatakan persetujuan agar sukan boling padang diadakan di temasya dwitahunan itu.

Katanya, Thailand sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memasukkan sukan itu dalam Sukan SEA 2025 berikutan mereka pernah menganjurkan Kejohanan Boling Padang Asia di Pattaya, Mac lalu.

“Bagaimanapun bergantung kepada tuan rumah sama ada mahu menganjurkannya atau tidak. Mereka mempunyai infrastruktur dan padang padang yang baharu jadi tiada masalah jika mahu mengadakannya.

“Rayuan telah dikemukakan dan saya juga sudah berbincang dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib malah dokumen telah diserahkan kepada mereka.

“Selain Malaysia, tiga negara iaitu Brunei, Filipina dan Singapura telah menyatakan persetujuan agar sukan boling padang dianjurkan. Diharapkan dapat berita positif daripada mesyuarat esok (hari ini),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Difahamkan selain boling padang, nasib beberapa sukan untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu turut dibincangkan.

Sekiranya dipertandingkan, skuad boling padang negara mempunyai dua kejohanan besar pada tahun depan sebagai persiapan mereka menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Skuad boling padang negara di jadual Kejohanan Boling Padang Asia di Filipina pada 27 April hingga 4 Mei 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN