PETALING JAYA: Tindakan Akhyar Rashid memperdayakan pemain Lubnan dengan tidak memberhentikan permainan tidak menyalahi undang-undang permainan bola sepak namun ia tidak menunjukkan semangat kesukanan serta memalukan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat tindakan dilakukan pada minit ke-78 di final Pestabola Merdeka oleh pemain sayap negara itu tidak profesional.
Jelasnya, apa yang dilakukan Akhyar telah memberi tanggapan negatif terhadap skuad Harimau Malaya dan mungkin kemudian hari akan dijadikan ‘modal’ kepada pasukan lain untuk tidak menghormati pemain kebangsaan.
Jika situasi sama berlaku apabila pemain Malaysia mengalami kecederaan selepas ini, pasukan lawan tidak akan memberhentikan permainan kerana apa dilakukan Akhyar jelas tidak menunjukkan semangat kesukanan.
“Apa yang dilakukan Akhyar tak salah. Memperdayakan lawan adalah seni permainan bola sepak di mana ia dalam bentuk kemahiran individu dan teknik kawalan bola untuk atasi pemain lawan.
“Tapi apa yang dibuat Akhyar itu bukan perdaya dalam bentuk teknik permainan. Apabila pemain lawan sudah berhenti untuk memberi laluan kepada pemain negara mendapatkan rawatan, sepatutnya Akhyar boleh memberhentikan kerana itu adalah semangat kesukanan dalam permainan.
“Dalam hal ini, pengadil cuba memberi ‘advantage’ kepada Malaysia untuk teruskan permainan selepas ada pemain negara yang jatuh sebelum Akhyar seolah-olah beri isyarat untuk hentikan tetapi dia secara tiba-tiba meneruskan permainan.
“Di sini mungkin membuatkan pemain Lubnan beremosi dan membuat terjahan ke atas pemain negara (Arif Aiman Hanapi) sebelum dikenakan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.
“Sepatutnya pengadil boleh hentikan dan memulakan permainan semula selepas Akyhar beri isyarat dan pemain Lubnan pun dilihat tidak memberi tekanan,” kata bekas pengadil FIFA itu.
Dalam aksi final Pestabola Merdeka yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu, Malaysia menang 1-0 hasil jaringan tunggal Romel Morales pada babak pertama.-UTUSAN










