PETALING JAYA: Lagenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi mencuri tumpuan, namun kali ini dalam arena perniagaan.
Beliau dilaporkan menerima sebanyak RM80 juta hasil daripada penjualan tanah di Kota Damansara melalui syarikat miliknya, Skyload Express Sdn. Bhd.
Syarikat tersebut dikatakan telah menjual tanah pajakan seluas 2.26 hektar kepada Magma Group Bhd yang bercadang membangunkan dua menara 34 tingkat di kawasan berkenaan.
Projek tersebut akan menempatkan pangsapuri perkhidmatan serta ruang komersial, sekali gus memberi impak besar kepada pembangunan kawasan tersebut.
Dalam perjanjian itu, Chong Wei bakal menerima kepentingan langsung sebanyak 2.48 peratus dalam Magma Group Bhd selain bakal memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 11.89 peratus.
Perkembangan itu mencerminkan keupayaan Chong Wei bukan sahaja berjaya dalam sukan tetapi bijak menguruskan perniagaan.
Tanah di Kota Damansara dilihat sebagai aset berpotensi tinggi memandangkan lokasinya yang strategik serta pembangunan pesat di kawasan tersebut.
Chong Wei sebelum ini dikenali sebagai ikon sukan tanah air selepas melakar pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, termasuk meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik.-UTUSAN










