PETALING JAYA: Impian pasukan footgolf Malaysia menjadi kuasa baru di peringkat benua Asia mungkin menjadi kenyataan apabila pasukan negara berjaya mencipta kejutan selepas melangkah ke pentas akhir bagi semua kategori yang dipertandingkan.
Malaysia muncul selaku juara kumpulan dalam pertandingan yang menggunakan format round robin dalam dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Lelaki Senior manakala bagi kategori Wanita, skuad negara muncul selaku naib juara kumpulan.
Menariknya, dalam aksi final yang akan berlangsung esok di The Els Club Desaru , kesemua kategori ini akan menyaksikan pertembungan di antara Malaysia dan jaguh benua Asia, Jepun.
Berdasarkan pertembungan di peringkat kumpulan, Malaysia menumpaskan Jepun 5-2 dalam kategori Terbuka Lelaki manakala skuad Senior Lelaki turut menumpaskan pasukan itu 4-2.
Dalam kategori wanita pula, skuad negara tumpas 1-2 kepada Jepun, pertembungan final esok pastinya menjadi misi membalas dendam dengan Malaysia mengimpikan untuk menjuarai ketiga-tiga acara.
Pertandingan Piala Asia Footgolf 2024 ini dibawakan oleh microLEAP dan terbuka kepada semua peminat serta penyokong untuk hadir menyaksikan pertembungan akhir yang dinanti-nantikan.-UTUSAN










