Kedah ‘sangkut’ gaji 6 bulan?

Kedah ‘sangkut’ gaji 6 bulan?

PEMAIN KDA FC memboikot sesi latihan pasukan selepas mendakwa tifak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ‘memboikot’ sesi latihan mereka bermula kelmarin berikutan tidak menerima gaji untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bagi musim ini.

Sumber dalaman Sang Kenari memaklumkan, tindakan sama turut diambil oleh para pemain pasukan bawah 23 tahun KDA FC.

Katanya, pemain skuad utama hanya menerima gaji untuk tempoh satu bulan setengah saja sepanjang musim ini menyebabkan mereka berdepan tekanan kewangan untuk melunaskan pelbagai komitmen termasuk bayaran bulanan sewa rumah serta kereta.

“Sejak Mac atau April lagi kami dengar gaji akan dilunaskan ‘minggu depan’ tetapi sampai sekarang tak bayar-bayar. Jumlah satu bulan setengah gaji yang dibayar itu pun dibuat secara beransur-ansur.

“Tahun ini, pembayaran gaji tak pernah lagi dibuat penuh untuk sebulan sebaliknya dibayar separuh-separuh atau suku dengan jumlah terkumpul hanya kira-kira satu bulan setengah. Bila kali terakhir gaji itu dibayar saya pun dah lupa.

“Sampai bila kami nak bersabar sedangkan tunggakan gaji sudah mencecah enam bulan? Disebabkan itu, kami ambil keputusan untuk tidak turun berlatih sejak kelmarin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, pada asalnya para pemain merancang untuk tidak turun menjalani latihan sejak sebelum perlawanan ‘Nusantara Challenge’ menentang Malut United FC dari Indonesia, Jumaat lalu.

“Tetapi para pemain akhirnya setuju turun berlatih setelah dipujuk Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain. Lagi pun, kami kasihan kepada pasukan lawan yang datang jauh dari seberang dan akhirnya kami hanya turun berlatih selama dua hari sebelum menentang mereka.

“Selepas perlawanan itu berakhir, pihak pengurusan ada datang bertemu pemain dan kami sekali lagi dijanjikan bahawa gaji akan dibayar pada Isnin atau Selasa lalu. Tetapi hingga ke hari ini, masih belum ada khabar berita,” katanya.

Sumber itu memaklumkan, hasrat para pemain untuk tidak turun berlatih telah dinyatakan dengan jelas kepada pihak pengurusan termasuk pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar.

“Perkara ini kami nyatakan dalam pertemuan selepas aksi menentang Malut United itu. Para pemain mengeluh kerana hutang kereta dan rumah sudah tertunggak melebihi tiga bulan dan kami juga perlu mengeluarkan belanja untuk minyak serta tol bagi menjalani latihan.

“Justeru kami minta pihak pengurusan untuk tidak ambil tindakan sekiranya kami tak turun latihan. Akhirnya setelah melihat gaji masih tidak dibayar, kami ambil keputusan untuk tidak berlatih,” katanya.

Ujarnya, terdapat perbincangan dalam kalangan pemain untuk membuat laporan kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sekiranya pembayaran gaji tidak dibuat pada minggu ini.

“Bila kami akan kembali turun berlatih pula saya pun tak tahu kerana mengikut perancangan, kami hanya akan turun berlatih jika mereka membayar sekurang-kurangnya dua bulan gaji yang tertunggak,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan pengesahan daripada daripada pihak pengurusan KDA FA tidak berjaya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN