PETALING JAYA: Pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente berkata, beliau akan melakukan pemantauan rapi untuk memilih pemain terbaik untuk mewakili negara ke Pestabola Merdeka 2024.
Pengendali dari Sepanyol itu juga mengakui gembira apabila Harimau Malaya diundi berdepan Filipina bagi aksi pertama Pestabola Merdeka 2024, bulan depan berbanding dua lagi pasukan iaitu Lubnan dan Tajikistan.
“Kami sudah merancang untuk menganalisis ketiga-tiga pasukan, tetapi kini kami boleh memberi lebih tumpuan kepada Filipina. Kami juga memantau para pemain untuk memastikan kami memilih pemain terbaik untuk kejohanan ini.
“Walaupun sebagai jurulatih baharu, bukan baharu sebenarnya. Jadi saya sudah biasa dengan semua di sini, dengan semua pemain dan barisan kejurulatihan, kami tahu tugas kami.Kami hanya mahu menunjukkan kepada semua bahawa kami masih di sini,” katanya.
Selain pertemuan Malaysia dan Filipina, satu lagi aksi Pestabola Merdeka 2024 akan menemukan juara bertahan, Tajikistan dan Lubnan yang turut akan berlangsung pada 4 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemenang aksi pertama itu akan mara ke final manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga pada 8 September
Menurut Vicente, pertembungan dengan Filipina bagi aksi pertama Pestabola Merdeka juga bagus buat Harimau Malaya sebagai persediaan untuk Piala ASEAN 2024, hujung tahun ini.
“Bertemu Filipina untuk perlawanan pertama pada 4 September, mungkin kita tahu mengenai mereka kerana mereka juga dari rantau Asia Tenggara.
“Bagi saya, sangat gembira berpeluang bertemu Filipina. Mereka juga pasukan pertama yang saya hadapi sebagai penolong jurulatih semasa kami menyertai skuad Harimau Malaya dua tahun lalu,” katanya.-UTUSAN










