MELAKA: Peristiwa pahit menimpa jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli yang kehilangan pingat emas selepas didapati lewat tiba di bilik menunggu ketika Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak akan berulang lagi di Paris.
Ketua kontinjen, Datuk Subramaniam Raman Nair berkata, kesemua 30 atlet yang mewakili negara telah diingatkan supaya patuh kepada jadual, tarikh, lokasi dan tempat bertanding.
Menurutnya, seramai 30 kakitangan sokongan akan mengiringi setiap atlet bagi memastikan mereka yang bertanding tiba lebih awal sebelum pertandingan bermula.
“Saya harap Ziyad tidak lambat lagi kali ini dan peristiwa di Tokyo tidak akan berulang semula.
“Saya telah minta 30 kakitangan sokongan yang mengiringi setiap atlet dapat memastikan atlet yang mereka jaga tidak lewat sampai ke venue pertandingan dan mesti pastikan mereka tiba lebih awal.
“Kita mahu pastikan jadual adalah tepat, tentukan siapa yang akan bertanding dekat mana dan masanya. Kita ada sistem untuk menentukan kejadian atlet lewat tiba tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Duduk di Pusat Rehabilitasi Perkeso, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Subramaniam yang juga Setiausaha Jeneral Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), atlet tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan menjadi atlet ke-30 mengesahkan penyertaan ke Paris yang merupakan penampilan ketiganya sejak 2016.
Ujarnya, sasaran empat pingat emas yang disasarkan kali ini adalah realistik berdasarkan pencapaian di Rio 2016 dan Tokyo 2020.
“Kita ada Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad (lontar peluru) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter, T36) yang disasarkan untuk emas,” katanya. – UTUSAN










