PETALING JAYA: Muhammad Ridwan Sahrom dan Fadhil Zonis berpotensi untuk menjadi pelumba kedua sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bersara daripada sukan berkenaan.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, kedua-dua pelumba berkenaan mempunyai potensi besar dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai pelumba kedua negara selepas Shah Firdaus Sahrom.
“Ridwan mempunyai kualiti seperti abangnya (Shah Firdaus). Namun jangan terlalu berharap keputusan dengan lebih cepat kerana kayuhan beliau boleh menjadi perlahan seperti abangnya juga.
“Proses akan akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk melihat konsistensi sebenar. Fadhil juga ada peluang yang besar kerana beliau sebahagian besar dalam skuad kebangsaan.
“Apabila dia (Fadhil) mampu bersaing di peringkat tertinggi, dia sama baiknya dengan diantara mereka (Azizulhasni dan Shah Firdaus),” kata Beasley.
Mengikut format mana-mana kejohanan setiap negara hanya boleh menghantar dua pelumba sahaja pada setiap acara seperti keirin dan pecut individu.
Biarpun Fadhil meraih emas menerusi acara keirin dan perak (ujian masa 1km) pada Piala Negara-negara Hong Kong 2021, beliau mempunyai peluang terhad untuk berlumba di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman masih dalam perbincangan bersama keluarganya sama ada beliau mahu meneruskan karier sebagai pelumba berbasikal trek ataupun sebaliknya.
Mei lalu, Ridwan mempamerkan kayuhan sebenar selepas menewaskan Shah Firdaus untuk memenangi keirin pada Piala Presiden di Velodrom Nasional Nilai.
Untuk rekod, Fadhil merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam ujian masa 1 kilometer (km).- UTUSAN









