Kami pergi berjuang, bukan lengkapkan final- Mickey

Kami pergi berjuang, bukan lengkapkan final- Mickey

AKSI Faisal Halim ketika Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Selangor FC akan berjuang habis-habisan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Bintang Selangor FC, Faisal Halim berkata, biarpun dirinya sendiri merasakan menentang JDT yang juga juara bertahan adalah sukar, namun segalanya bukan mustahil untuk berikan yang terbaik.

Faisal yang lebih dikenali dengan gelaran Mickey berkata, kejayaan menjulang Piala Sultan Selangor 2024 juga memberi motivasi tambahan buat The Red Giants menjelang perlawanan penting itu.

“Kami janji beri yang terbaik untuk penyokong, rakyat Selangor dan apa saja keputusan sekalipun kami kena terima sebab kita pergi untuk berjuang bukan pergi sekadar melengkapkan final,” katanya.

Dalam aksi menentang Singapura kelmarin, Faisal membuat penampilan untuk tempoh 45 minit pada babak pertama selepas tiga bulan berehat akibat tragedi hitam yang menimpa dirinya.

“Alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri dengan intensiti (perlawanan). Tapi saya perlu banyak masa lagi memperbaiki dan saya rasa rakan-rakan saya sangat luar biasa dalam membantu saya.

“45 minit itu bukan permainan sebenar saya. Saya belum sampai tahap yang maksimum lagi. Saya perlukan masa lagi untuk saya dapat maksimum saya seperti dahulu.” katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, Nidzam Jamil berkata, kehadiran Faisal selain komitmen pemain yang tinggi dilihat memberi mesej positif buat pasukan dalam persediaan menghadapi perlawanan penting nanti.

Jelasnya, Faisal menunjukkan perkembangan semakin baik dalam perlawanan itu selain pemain lain turut menunjukkan kesungguhan untuk cuba mendapatkan tempat dalam skuad terutama pemain muda.

“Saya rasa saya gembira dan ia bukan untuk Faisal tetapi semua pemain kita bagi komitmen yang bagus. Sudah tentu Faisal berada di landasan terbaik untuk mendapatkan semula prestasinya.

“Saya juga gembira melihat pemain muda seperti Zikri (Khalili), Azim ( Al-Amin), Jebeng (Harith Haiqal). Cuma kita rehatkan Safuwan Baharudin dan Alex (Agyarkwa) untuk persediaan minggu depan. Tapi secara keseluruhan, saya gembira melihat perkembangan skuad pasukan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×