PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerima secara terbuka berkenaan segala kecaman dan kritikan yang diberikan pada program Road To Gold (RTG) yang sekadar membawa pulang dua gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Hannah, apa yang menjadi keutamaan beliau hanya pandangan dari pemegang taruh daripada program terbabit iaitu atlet dan juga jurulatih.
“Kritikan itu sentiasa ada kerana peminat sukan itu pelbagai dan mereka mempunyai hak untuk memberi kritikan. Semua orang ada platform di media sosial untuk menyatakan pendapat mereka.
“Namun kita di peringkat elit, yang paling penting hanya pendapat pengarah teknikal seperti Rexy Mainaky (badminton), John Beasley (berbasikal) kerana mereka lebih arif.
“Kami juga berpegang kepada pandangan atlet dan pemegang taruh kita. Kalau mereka kata tanpa RTG tidak dapat prestasi yang seperti ini, kami terima,” kata Hannah.
Dalam pada itu, Beasley berkata RTG memenuhi keperluan atlet dari segi peralatan dan sokongan sekaligus percaya jika diteruskan pasti hanya menunggu masa untuk menyumbang emas kepada Malaysia.
“Saya rasa anda boleh lihat apa yang telah mulakan. Walaupun tidak membawa sebarang pingat emas, perak atau gangsa kali ini, tetapi anda dapat melihat persembahan atlet.
Ada beberapa persembahan yang sangat baik pada Olimpik kali ini, jadi tolong jangan ganggu atlet atau hentikan program itu,” kata Beasley.
Kontinjen Malaysia melabuhkan tirai Olimpik Paris 2024 dengan membawa pulang dua gangsa menerusi sukan badminton iaitu Aaron Chia-Woh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki).
Untuk rekod, program RTG mula diperkenalkan pada Mac tahun dan akan membabitkan dua kitaran Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles (LA) 2028.










