Buka mata cari sukan beri kelebihan

Buka mata cari sukan beri kelebihan

GIMNASTIK antara sukan yang boleh diketengahkan selepas Filipina turut meraih dua emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Malaysia memberi tumpuan kepada sukan yang kurang menggunakan saiz fizikal dalam usaha membawa pulang pingat emas pertama Olimpik.

Sukan yang menitikberatkan aspek kemahiran perlu diperkasakan untuk melihat impian emas pertama tercapai selepas Malaysia terus kempunan menaiki podium utama temasya itu.

Ketika negara Asia Tenggara lain gah di Olimpik Paris dengan Indonesia serta Filipina meraih dua emas dan Thailand satu emas, Malaysia masih ketinggalan dengan sekadar dua gangsa.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Malaysia perlu melihat potensi sukan lain yang berpotensi seperti gimnastik yang perlu diketengahkan.

Katanya, kejayaan atlet Filipina, Carlos Yulo memenangi dua emas dalam acara melombol dan senaman lantai di Paris, Malaysia patut cemburu dan memulakan langkah segera.

“Saya tidak kata dalam sukan saiz fizikal tidak penting tetapi kalau kita fokus kepada sukan yang kurang bergantung kepada saiz fizikal ada beberapa sukan yang perlu kita beri perhatian.

“Antaranya gimnastik, selepas melihat kepada kejayaan atlet Filipina. Bagi acara trek saya fikir susah untuk kita ke final namun acara padang kita masih boleh ke final,” katanya.

Menurut Pekan, selepas sukan skuasy dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028, Malaysia perlu melakukan persiapan rapi untuk meraih pingat emas.

“Sekarang kita ada pemain skuasy wanita S. Sivasangari, namun adakah itu satu jaminan untuk kita (menang emas)? Negara lain sudah tentu melakukan persiapan,” katanya.

Ditanya mengenai kebergantungan kepada sukan badminton untuk meraih pingat setiap kali beraksi di Sukan Olimpik, Pekan berkata, Malaysia tidak bersendirian.

“Bukan kita sahaja, lihat Indonesia, apabila mereka mula mendapat pingat menerusi badminton dalam Sukan Olimpik mereka juga sama seperti kita.

“Pingat pertama kita menang di Sukan Olimpik pada Sukan Olimpik 1992 dan program pembangunan dilihat agresif kerana sudah ada legasi, bukti di mana pingat negara hadir menerusi sukan badminton,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×