Bonnie bangga bawa Jalur Gemilang

Bonnie bangga bawa Jalur Gemilang

BONNIE akan menjadi pembawa Jalur Gemilang di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mengakui bangga apabila diberikan amanah buat kali kedua sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik.

Bagi Bonnie, tugasan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Paralimpik Paris 2024 adalah satu tanggungjawab besar kerana beliau bukan sahaja membawa nama negara tetapi perlu mempertahankan emas.

Kali pertama atlet kelahiran Sarawak diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang adalah pada Paralimpik Tokyo 2020 yang turut menyaksikannya memperoleh pingat emas bagi kategori atas 72 kilogram (kg).

Atlet berusia 25 tahun itu mengakui ia satu penghargaan besar buat dirinya apabila namanya sekali lagi dipilih untuk membawa Jalur Gemilang di temasya terbesar dunia itu.

“Sudah pasti saya berasa gembira malah lebih semangat. Apabila membawa Jalur Gemilang saya dapat memperkenalkan diri saya sebagai atlet Malaysia dengan penuh bangga.

“Apabila dipilih buat kali kedua, saya berasa segala usaha dan kejayaan yang saya kecapi untuk negara dihargai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bonnie salah seorang daripada 30 atlet para negara yang akan bertanding di Paralimpik Paris merupakan prospek utama pingat emas turut mengakui ayahnya, Gustin Anak Jenang merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan powerlifting kepadanya.

“Ayah saya merupakan atlet powerlifting negara dan disebabkan dia saya bersama abang (Bryan Junency) menceburi sukan ini. Pada permulaannya, ayah saya banyak beri tunjuk ajar kepada kami,” katanya.

Bonnie bersama bapa dan abangnya pernah beraksi dalam satu pentas yang sama ketika negara menganjurkan Sukan Para Asean pada 2017 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hanya Gustin membawa pulang pingat selepas memenangi gangsa bagi kategori 59kg.

Berbekalkan pengalaman di Sukan Para Asean 2017, Bonnie berusaha untuk mencipta nama dan pada Jun 2021 dia memecahkan rekod dunia di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas mengangkat 230kg untuk merangkul emas.

Sandaran pingat emas diletakkan di bahu Bonnie dan menyedari perkara tu, dia mengakui tekanan semakin dirasai dan disebabkan persiapan rapi terutamanya daripada segi mental perlu dilakukan.

“Untuk mempertahankan ingat emas memang tertekan. Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pencabar terdekat saya dari Itali Donato Telesca,” kata Bonnie yang kini berada di kedudukan No. 1 dunia.- UTUSAN

Nama: Bonnie Bunyau Gustin
Tarikh lahir: 3 Jun 1999
Umur: 25 tahun
Asal: Serian, Sarawak
Pencapaian:
Pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2024
Pingat emas Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para 2019, 2021, 2021, 2024

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN