Atletico ikat Alvarez RM450 juta

Atletico ikat Alvarez RM450 juta

JULIAN Alvarez akan beraksi bersama Atletico Madrid musim depan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Atletico Madrid menandatangani penyerang berbakat dari Manchester City, Julian Alvarez, dalam satu perjanjian yang dilaporkan bernilai sehingga 85 juta euro (RM450 juta).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Atletico, kelab tersebut mencapai persetujuan dengan City untuk mengikat penyerang Argentina itu dengan kontrak selama enam musim.

Laporan mendedahkan Atletico akan membayar 75 juta euro (RM397 juta) bagi mendapatkan khidmat Alvarez, dengan tambahan 10 juta euro (RM53 juta) dalam bentuk bonus prestasi.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Januari 2022 dari kelab Argentina, River Plate, dengan harga hanya 16 juta euro (RM84 juta).

Sepanjang dua tahun bersama City, Alvarez telah memenangi dua trofi EPL serta Liga Juara-Juara, selain pelbagai anugerah lain yang melengkapkan karier gemilangnya.

Bagaimanapun, beliau tidak gembira di City selepas hanya menjadi pilihan kedua di belakang penyerang Norway, Erling Haaland yang sering menjadi pilihan Pep Guardiola.

Alvarez juga memainkan peranan penting dalam membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia pada Disember 2022 serta Copa America pada 2021 dan 2024.

“Hari ini saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang menakjubkan ini, dengan pelbagai suka dan duka.

“Tempoh dua tahun ini amat istimewa bagi saya. Saya telah berkembang dan belajar banyak, baik sebagai pemain mahupun sebagai individu,” kata Alvarez.

Untuk rekod,Alvarez menjaringkan 36 gol dalam 103 penampilan untuk City dalam semua pertandingan.

Guardiola, sebelum ini menyatakan Alvarez sangat disayangi pasukan kerana sikap positifnya, namun beliau menghormati keinginan pemain itu untuk mencari cabaran baharu di kelab lain.

Atletico yang dikendalikan oleh Diego Simeone turut memperkuatkan pasukan mereka dengan menandatangani Robin Le Normand dan Alexander Sorloth dalam usaha bersaing dengan Real Madrid dan Barcelona.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN