PETALING JAYA: Bekas kapten pasukan kebangsaan, Zaquan Adha berharap pengadil Liga Malaysia (Liga M), Nazmi Nasaruddin tampil memberi penjelasan berkaitan keputusan kontroversi ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Rata-rata peminat bola sepak tempatan serta beberapa bekas pemain mempersoalkan keputusan Nazmi yang enggan memberikan sepakan penalti kepada Sang Kenari.
Ketika Shahrul Saat dan pemain KDA FC, Fayyadh Zulkifli sedang merebut bola pada minit ketiga masa tambahan babak kedua, bola seakan terkena tangan Shahrul namun pengadil perlawanan Nazmi yang membuat semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah.
“Safee Sali sudah jawab bahawa ia jelas penalti. Matyo (Norshahrul Idlan Talaha) juga setuju. Apa-apapun ia berdasarkan keputusan pengadil.
“Kalau kita boleh hubungi Nazmi sekarang, kita nak dengar penjelasan dia sebagai seorang pengadil. Kalau kita lihat dari mata kasar itu jelas penalti. Hanya Nazmi yang boleh menjawab perkara ini,” kata bekas pemain JDT itu.
Zaquan bagaimanapun merasakan bahawa alasan tolakan Fayadh ke atas Shahrul menyebabkan keputusan tidak memberikan penalti turut diambil kira pada aksi yang berakhir dengan JDT menang 2-1 ke atas Kedah.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan keputusan dilakukan Nazmi adalah tepat.
“Bukan semua insiden bola terkena tangan boleh dianggap sebagai kesalahan. Adakah pemain sengaja menggunakan tangannya untuk menghalang pemain lawan daripada mendapatkan bola?.
“Kita kena pertimbangkan di mana pemain seharusnya meletakkan tangan apabila menjangkakan mereka bermain seperti biasa.
“Menggunakan tangan boleh dibenarkan (justifiable) apabila ia membantu pemain mendapat keseimbangan di udara apabila cuba merebut bola dengan pemain lawan. Ini sangat penting dan Nazmi mengambil keputusan yang betul,” kata Subkhiddin.
Perlawanan separuh akhir kedua membabitkan kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos depan di Stadium Sultan Ibrahim.-UTUSAN










