Santos mahu pastikan benteng Kedah terus kebal

Santos mahu pastikan benteng Kedah terus kebal

SANTOS (kanan) berjaya mengemudi benteng pertahanan KDA FC dengan baik ketika ini.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Cleylton Santos berazam mahu meneruskan rentak cemerlang untuk membantu pasukannya mengekalkan kekebalan benteng Sang Kenari yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, esok.

Menurut pemain kelahiran Brazil itu, kejayaan mengharungi lima perlawanan berturut-turut tanpa bolos sebelum ini sememangnya memberi keyakinan tinggi untuk mereka berdepan mana-mana pasukan.

Bagaimanapun, dia dan rakan sepasukan sedar dengan kekuatan dimiliki JDT yang menyebabkan mereka tidak boleh ‘berehat’ untuk berusaha membaiki diri demi memastikan pintu gol tidak dibolosi.

“Lima perlawanan tanpa bolos sememangnya sesuatu yang sangat baik dan penting buat kami. Kami ada bercakap tentangnya tetapi itu bukan alasan untuk kami bersuka-ria.

“Sebaliknya perbincangan sentiasa berjalan, bukan hanya melibatkan kami di posisi pertahanan malah rakan-rakan di bahagian tengah dan menyerang. Konsep bertahan dalam bola sepak bukannya hanya melibatkan tanggungjawab penjaga gol dan pemain pertahanan saja.

“Tanggungjawab itu merangkumi semua dari penyerang utama hinggalah penjaga gol. Ketika ini kami saling ada untuk menjaga satu sama lain dan itulah yang membantu pasukan tidak dibolosi dalam beberapa perlawanan terakhir,” katanya.

Mengulas mengenai JDT, pemain berketinggian 1.9 meter itu berkata, dia banyak mendengar mengenai pasukan dari selatan tanah air itu yang cukup dikenali kerana memiliki pemain-pemain berwibawa.

“Mereka ada bakat hebat dan dikenali sebagai pasukan terbaik di negara ini. Untuk itu kami perlu berusaha lebih keras dan menunjukkan prestasi terbaik bagi mengekang mereka.

“Dalam tempoh 90 minit itu kami perlu sentiasa kekal bermain dengan baik. Setiap perlawanan ada cabarannya dan saya gemar untuk menghadapi cabaran baharu seperti itu,” katanya.

Mengulas keupayaannya menyesuaikan diri dalam tempoh singkat bersama KDA FC, Santos berkata, ketua jurulatih, Nafuzi Zain merupakan antara faktor yang membantunya menghadapi keadaan itu.

“Cara dia kendalikan pasukan sesuai dengan corak permainan yang saya suka. Dia mementingkan kawalan bola dan itulah yang saya suka sebagai pemain pertahanan, bukan sekadar mengeluarkan bola tanpa hala tuju dari kawasan bahaya.

“Saya fikir pasukan ini banyak berkembang berbanding sewaktu mula dibentuk dulu. Hubungan antara pemain, jurulatih dan pengurusan di sini ibarat keluarga dan itu juga banyak membantu kami menghadapi situasi di padang,” katanya.

habis…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN