Kelab Jerman, India risik khimdat pemain Speedy Tigers

Kelab Jerman, India risik khidmat pemain Speedy Tigers

SARJIT Singh ketika bersama skuad Speedy Tigers dalam jelajah Eropah sebagai persediaan ke Piala Juara-juara Asia pada September ini.-IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh mendedahkan sekurang-kurangnya 10 pemain Speedy Tigers kini dalam radar kelab hoki Jerman dan India.

Sarjit berkata, penyertaan Speedy Tigers dalam Siri Jelajah Eropah ketika ini telah membuka mata kelab-kelab berkenaan untuk mendapatkan khidmat pemain Malaysia.

“Tiga minggu lepas, Monchengladbach (kelab Jerman) mahu mendapatkan khidmat penyerang Malaysia dan kami akan menentang mereka dalam siri jelajah Eropah pada 9 Julai ini.

“Saya memberi maklum balas dan mencadangkan beberapa pemain kepada kelab terbabit dan kini terpulang kepada mereka untuk memutuskan pemain mana yang mereka minat.

“Kemungkinan besar juga sekurang-kurangnya 10 pemain kita akan bermain untuk kelab di Liga Hoki India yang akan bermula pada 15 Disember ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam jelajah Eropah, Speedy Tigers mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan B Belgium 3-2 pada aksi pembukaan, namun tewas 2-4 pada perlawanan kedua, kelmarin.

Dalam pada itu, Sarjit meluahkan rasa gembira apabila anak-anak buahnya berada dalam radar liga hoki antarabangsa dan beliau percaya ia memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

“Lebih ramai pemain bermain di luar negara, maka lebih gembira saya rasa. Bukan mudah untuk bermain di peringkat antarabangsa. Jadi, peluang ini sangat susah untuk ditolak.

“Ianya memberi banyak manfaat kepada Speedy Tigers untuk masa hadapan nanti. Pendedahan di liga hoki antarabangsa, sekali gus mampu meningkatkan kualiti pasukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Speedy Tigers akan meneruskan Siri Jelajah Eropah menentang kelab Monchengladbach pada 7 Julai, Jerman (9 Julai), Belanda (12 Julai) serta India pada 24 Julai ini.

Siri ini merupakan aksi pemanas badan menjelang Piala Juara-juara Asia yang dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 17 September ini di Inner Mongolia, China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN