KANGAR: Bekas pemain Perlis United FC (PUFC) terus buntu apabila perjuangan mereka menuntut tunggakan gaji dua bulan musim lalu sudah dipandang sepi oleh pihak pengurusan yang didakwa mengambil sikap ‘lepas tangan’ berhubung hak para pemain.
Selepas hampir setahun, kira-kira 27 bekas pemain Perlis United itu masih belum menerima tunggakan gaji bulan Oktober dan November itu yang nilainya dianggarkan sekitar RM160,000 meskipun sudah berusaha dengan pelbagai cara bagi menuntut hak mereka.
Justeru, sebagai jalan terakhir, mereka sangat berharap kerajaan negeri dapat campur tangan
membantu menyelesaikan tunggakan gaji tersebut kerana pihak pengurusan didakwa sudah lepas tangan sepenuhnya dalam isu ini.
Bekas pemain Perlis United, Muhammad Syazwan Tajudin berkata, kali terakhir para pemain berhubung dengan pihak pengurusan, mereka disuruh untuk menuntut tunggakan gaji berkenaan kepada kerajaan negeri.
Katanya, alasan yang diberikan pihak pengurusan pada masa itu adalah kerajaan negeri dikatakan telah berjanji untuk menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan.
“Pihak pengurusan memaklumkan musim lalu Perlis United ada berhasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga M3 namun dihalang oleh kerajaan negeri yang memberi jaminan untuk membantu melunaskan tunggakan gaji itu.
“Apabila kami berhubung dengan Exco pula, Exco kata akan cuba bantu namun ia memakan masa. Namun sehingga hari ini, isu tunggakan gaji berkenaan masih belum selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, masalah tunggakan gaji skuad Perlis United memaksa beberapa pemainnya melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah untuk menyara kehidupan masing-masing.
Ada juga pemain yang terpaksa melakukan pelbagai kerja lain antaranya seperti bekerja sendiri, berniaga dan penghantar barang bagi menyara kehidupan.
Sebelum itu juga, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli turut menggesa agar pengurusan Perlis United bertanggunjawab dan tidak lepas tangan menyelesaikan tunggakan gaji dua bulan para pemain musim lalu itu.
Sementara itu, Muhammad Syazwan berkata, para pemain memerlukan duit tersebut memandangkan pada masa ini ada dalam kalangan mereka yang menganggur selain mencari pendapatan dengan bekerja sendiri.










