CHARLOTTE: Colombia melakar kejutan apabila menewaskan Uruguay 1-0 dalam aksi separuh akhir untuk mara ke final Copa America buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun, sebentar tadi.
Tandukan Jefferson Lerma pada minit ke-39 sudah cukup untuk Colombia yang beraksi dengan 10 pemain meraih tiket ke final bertemu juara bertahan, Argentina di Miami Gardens, pagi Isnin ini.
Colombia yang kehilangan Daniel Munoz susulan kad merah sebelum rehat berjaya menahan asakan Uruguay untuk menggembirakan penyokong mereka yang membanjiri Stadium Bank of America.
Stadium berkapasiti 74,800 itu dipenuhi penyokong Colombia dan aksi bagaikan berlangsung di laman mereka sendiri dengan ‘lautan kuning’ memenuhi ruang stadium dan hanya sekelompok kecil penyokong Uruguay kelihatan.
Gol tunggal perlawanan dihasilkan pada minit ke-39 selepas Lerma melonjak tinggi mengatasi Jose Maria Gimenez untuk menanduk masuk sepakan sudut James Rodriguez.
Ia adalah umpanan gol keenam dilakukan Rodriguez pada kejohanan kali ini dan bekas pemain tengah Real Madrid itu memecahkan rekod bantuan gol terbanyak dalam satu edisi Copa America yang dilakar Lionel Messi pada 2021.
Keraian kemenangan itu bagaimanapun dicemari dengan insiden buruk di tempat duduk penyokong dan insiden itu seharusnya diambil berat oleh penganjur menjelang aksi final yang pasti menarik ramai penyokong Argentina dan Colombia. –AGENSI










