PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memiliki tempoh enam bulan untuk menaikkan ranking skuad kebangsaan bagi mengatasi India supaya berada di kedudukan ‘selesa’ kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung Mac tahun depan.
Ketika ini skuad Harimau Malaya berada di ranking ke-138 dunia dan perlu mengatasi India yang berada di tangga ke-121 dunia iaitu kedudukan paling rendah dalam Balang 1 yang turut dihuni Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan Lubnan
Skuad Harimau Malaya perlu berada dalam Balang 1 bagi memudahkan mereka mengharungi perlawanan kelayakan itu memandangkan hanya juara kumpulan saja akan mengesahkan tempat ke Piala Asia yang berlangsung di Arab Saudi.
Sekiranya gagal mengatasi ranking India, bermakna Malaysia akan berada di Pot 2 bersama Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman.
Kemenangan 3-1 Malaysia terhadap Taiwan baru-baru ini juga membolehkan ranking skuad Harimau Malaya naik secara tidak rasmi ke tangga 134 dunia dan itu satu petunjuk positif untuk menempatkan diri di dalam kalangan kelompok ‘elit’.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya mahu manfaatkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada masa akan datang dengan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.
“FAM komited menyusun strategi untuk meningkatkan lagi ranking skuad Harimau Malaya. Untuk itu, FAM akan cuba menganjurkan perlawanan persahabatan membabitkan pasukan yang berada di Pot 1 dan 2 pada kejohanan Pestabola Merdeka pada September depan.
“Sudah pastinya, kita kecewa kerana tidak mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 namun tetap fokus untuk layak ke Piala Asia 2027. Setakat ini, skuad Harimau Malaya sudah menunjukkan peningkatan positif,” katanya.
Untuk rekod, pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D walaupun meraih 10 mata di belakang Oman selaku juara (13 mata) dan Kyrgyzstan (11 mata).-UTUSAN










