PETALING JAYA: Pasukan Malaysian University (MU) tidak gentar untuk berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim(JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), petang ini.
Pengendalina, Ridzuan Abu Shah berkata, pertemuan dengan skuad bintang seperti JDT adalah peluang berharga bagi anak buahnya menimba pengalaman bermain di tahap bola sepak yang lebih tinggi.
“Pasukan kami tidak gentar menghadapi barisan bintang JDT, sama ada mereka utama atau kedua. Kami datang dengan tekad untuk belajar dan kami menghargai pengiktirafan dari jurulatih JDT,” katanya.
Pasukan yang terdiri daripada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu baru-baru melakar kejutan menumpaskan PDRM FC 3-0 yang dikendalikan P. Maniam untuk mara ke peringkat suku akhir.
Sementara itu, Ridzuan juga percaya bahawa perlawanan menentang JDT juga akan menjadi medan ujibakat untuk barisan pemainnya sebelum melangkah lebih jauh ke dalam arena bola sepak profesional.
“Kami gembira dapat bersaing dengan pemain utama JDT. Ini adalah peluang yang amat berharga bagi pemain-pemain kami untuk belajar dan membuktikan potensi mereka,” tambah Ridzuan.
Dalam pada itu, beliau juga berpesan kepada anak-anak buahnya agar memberikan persaingan yang baik kepada pasukan Harimau Selatan itu meskipun sedar akan potensi pasukan kendaliannya.
“Kita kena ukur baju di badan sendiri, kita sedar kita merupakan pasukan yang tiada pemain import berbanding dengan pasukan JDT, tapi saya harap para pemain dapat memberikan satu perlawanan yang baik di SSI nanti,” jelasnya.-UTUSAN










