TANJUNG MALIM: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin atlet negara mampu membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara pada temasya terbesar dunia itu di Paris nanti.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, semua pihak perlu sepakat untuk merealisasikan impian emas Olimpik pertama, sekali gus melakar sejarah baharu.
“Atlet yang layak ke Olimpik dengan kebolehan dan mentaliti untuk menyumbang pingat, mereka bukan sekadar penumpang tetapi akan memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pelancaran Majlis Sambutan Hari Olimpik Sedunia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sport City di sini. semalam.
Pada majlis itu, UPSI dan MOM turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyelidikan dan pendidikan bidang sukan di negara ini.
Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas di pentas Sukan Olimpik sejak mengambil bahagian di temasya tersebut buat kali pertama pada edisi 1956 di Melbourne, Australia.
Pencapaian terbaik dilakar kontinjen negara adalah pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil apabila merangkul empat pingat perak dan satu gangsa.
Norza berkata, MOM tidak mengira atlet daripada acara sukan dalam Olimpik Paris yang bakal menyumbang pingat itu nanti sama ada badminton, berbasikal, memanah atau pelayaran.
“Empat tahun mereka bertungkus-lumus untuk layak dalam Olimpik Paris dan semestinya mereka akan memberikan yang terbaik.
“Datuk Azizulhasni Awang (jaguh berbasikal trek negara) kini menjalani latihan di Eropah dan skuad badminton negara akan tiba di Perancis pada 13 Julai nanti untuk menjalani latihan intensif di utara negara tuan rumah itu,” katanya.
Norza turut berharap setiap atlet mengelak daripada mengalami kecederaan yang serius sehingga menyukarkan negara meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik.










