KUALA LUMPUR: Enam kali bergelar juara dunia, enam kali muncul sebagai juara asia dan enam kali juga tercalon dalam Anugerah Sukan Negara (ASN).
Selepas kali keenam berada dalam senarai akhir ASN, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023, kelmarin.
Selepas bergelar juara dunia dan Asia pada tahun lalu, Mohd Syarul yang popular dengan gelaran Mike kini menjadi atlet ketiga daripada sukan bina badan yang menjuarai ASN selepas Datul Abdul Malek Noor dan Sazali Samad.
Mike menyedari bahawa saingannya amat sengit dan tidak menyangka barisan juri memilihnya sekali gus mengenepikan empat calon muda, Muhammad Rafiq Ismail (boling), Ng Eain Yow (skuasy), Mohd Qabil Ambak (ekuestrian) dan Muhammad Arif Afifuddin (karate).
“Saya pernah lihat enam itu sebagai nombor malang. Sejujurnya saya tidak sangka saya akan menang sebab saya dah biasa tercalon dan pulang dengan tangan kosong.
“ASN ini memberi saya satu makna yang besar untuk meneruskan perjalanan saya sebagai jurulatih bina badan kebangsaan. Hadiah persaraan saya yang tidak ternilai,” kata Mike.
2023 menjadi tahun yang manis buat Mike selepas menggondol dua kejuaraan utama menerusi Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik di Wonju, Korea Selatan serta Kejohanan Bina Badan Asia di Nepal.
Dalam pada itu, menjadi Olahragawan Kebangsaan 2023 pada usia 51 tahun, Mike menasihati kepada atlet negara supaya terus berjuang mengharumkan nama negara dan menggesa untuk enggan mengaku kalah dalam membina prestasi tertinggi.
“Lebih 20 tahun saja menjadi atlet. Prestasi sudah tentu ada turun dan naik. Jadi kepada ahli sukan di luar sana jangan mengaku kalah. Kalau saya boleh menjadi juara dunia pada usia lima dekad, apatah lagi kamu semua dalam usia muda begini.
“Terus berjuang dan jaga kesihatan mental itu yang paling penting sebagai atlet. Anda semua (atlet) boleh menjadi juara kalau berusaha dengan cekal dan tidak kira apa jua usia anda sekarang,” kata Mike.
Untuk rekod, kali terakhir sukan bina badan menerima Olahragawan Kebangsaan pada ASN adalah menerusi Sazali Samad pada 2014 yang mana menjadi penerima anugerah terbanyak
sebanyak empat kali bersama Rashid Sidek dari sukan badminton.-UTUSAN










