PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini memutuskan untuk mengurang denda dan membatalkan dua hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC.
MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan atas budi bicara Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam kenyataan itu, MFL memaklumkan denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000 namun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL dikekalkan.
“MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.
“Pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025 dibatalkan. Walaubagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.
“Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan. Penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut,” kata MFL.
Selain itu kata MFL, tempoh untuk Selangor FC membuat rayuan adalah selama tiga hari bermula hari ini seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.
Sebelum ini, Selangor FC dikenakan empat hukuman susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang JDTdi Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.- UTUSAN










