PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yakin mampu menumpaskan juara dunia lima kali WMF Muay Thai, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE Championship, hari ini.
Bagaimanapun, petinju berusia 18 tahun itu mengakui bahawa pertarungannya menentang lawannya dari Vietnam itu menjadi perlawanan paling mencabar dalam kariernya, berikutan pengalamannya yang luas dimiliki Duy Nhat.
“Saya pernah melihat dia melepaskan beberapa tendangan kepala. Ianya boleh menjadi berbahaya kepada saya.
“Bagaimanapun saya sudah sedia sepenuhnya untuk berdepan dengannya. Jadi kita harus bijak bertahan untuk apa sahaja yang tendangan yang dilepaskan,” katanya.
Ini pertarungan pertama Johan sejak 8 Disember tahun lalu yang mana menyaksikannya menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Biarpun Duy Nhat sukar ditewaskan, namun Johan mendedahkan dan yakin bahawa lawannya berusia 35 tahun itu akan keletihan selepas pusingan pertama.
“Saya rasa kelebihan yang saya ada dalam pertarungan ini adalah masa muda saya. Saya lebih muda dan akan pulih lebih cepat. Saya rasa ini yang boleh dijamin pada akhirnya.
“Bagaimanapun dia boleh menjadi sukar, saya fikir akan berada pada permulaan yang sukar, namun saya tahu dia akan letih pada pusingan kedua. Saya akan memanfaatkan peluang itu untuk menumbangkannya,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.
Untuk rekod, Johan terpilih sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship selepas merekodkan kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan KO sepanjang saingan musim lalu.-UTUSAN










