JDT tidak 'simpan kuku' lawan MU

JDT tidak ‘simpan kuku’ lawan MU

HECTOR BIDOGLIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menurunkan kesebelasan terbaik mereka berdepan kelab kerdil, Malaysian University (MU) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini petang ini.

Biarpun ramai menjangkakan JDT tidak akan berdepan tugas sukar pada pertemuan itu, Hector Bidoglio mahu pasukan lawan merasakan aksi sebenar skuad Harimau Selatan itu.

Katanya, anak buahnya akan mengambil serius setiap perlawanan dan memberi komitmen penuh di atas padang sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Kita tidak memandang rendah keupayaan lawan, siapa pun lawan JDT, kita akan memberikan aksi terbaik untuk disajikan kepada penonton yang hadir.

“Dalam aksi penting seperti ini, apa sahaja boleh berlaku dan pemain dituntut agar beraksi sehabis baik seperti perlawanan yang lain selain tidak leka dan menggunakan peluang ini menunjukkan keupayaan sebenar,” katanya.

Kedua-dua aksi suku akhir Piala FA membabitkan MU dan JDT diadakan di SSI susulan University Tigers itu tidak mempunyai stadium yang sesuai untuk dijadikan venue selaku tuan rumah.

Ditanya mengenai komen peminat-peminat bola sepak yang mengharapkan agar skuad Harimau Selatan itu beraksi tanpa pemain import, Bidoglio memberitahu, perkara itu tidak akan dilakukan kerana ia dilihat seperti tidak menunjukkan semangat kesukanan sebenar.

Katanya, pihak lawan bukanlah pasukan yang lemah setelah membelasah pasukan Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

“Walaupun dibarisi ramai pemain muda, ia tidak menjadi penghalang untuk mencipta kejutan, sekali gus membuktikan keupayaan pasukan untuk beraksi di tahap yang lebih tinggi.

“Justeru, kita juga perlu berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan lawan sebaliknya menurunkan skuad terbaik menentang kelab tersebut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN