Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Thailand

Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Thailand

LEE Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Thailand 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia berjaya membalas kembali kekalahan di tangan musuh ketatnya, Lu Guang Zu selepas menyingkirkan pemain China itu pada suku akhir Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.

Dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam itu, Zii Jia yang merupakan pemain No. 10 dunia berjaya membenam Guang Zu 21-13, 16-21, 21-18.

Walaupun, perjalanan Zii Jia pada Terbuka Thailand masih belum sampai ke penghujung, namun, kemenangan ke atas pemain No. 19 dunia itu amat bermakna buat anak jati Kedah tersebut.

Guang Zu merupakan pemain yang menjadi duri dalam daging buat Zii Jia apabila dia merencatkan langkah anak muda berusia 26 tahun itu seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Tumpas di hadapan penyokong sendiri dan kejohanan berstatus Super 1,000 itu juga merupakan pertandingan pembuka tirai bagi musim 2024, Guang Zu sedikit sebanyak antara pencabar yang menjadi ‘pengacau’ kepada keruntuhan semangatnya selepas itu.

Zii Jia berkata, perlawanan menentang Guang Zu bukan satu aksi yang mudah memandangkan pemain tersebut bukanlah calang-calang lawan.

“Ini satu kemenangan balas dendam, sebab saya kalah kepada dia sebelum ini, kemaraan yang baik, saya gembira berjaya mengawal permainan sehingga set ketiga, ini separuh akhir pertama saya tahun ini,” katanya ketika ditemu bual Spotv selepas perlawanan tamat.

Pada aksi separuh akhir esok, Zii Jia akan berdepan Chou Tien Chen selepas wakil Taiwan itu mengejutkan Kodai Naraoka dari Jepun 21-14, 21-15 dalam satu lagi aksi suku akhir.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN