KUALA TERENGGANU: Kontinjen Terengganu meletakkan sasaran 75 pingat emas dalam misi merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 di Sarawak, Ogos nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu mengatasi pencapaian dua tahun lalu 64 pingat emas, 49 perak dan 56 gangsa untuk berada di tempat kedua.
Ahmad Samsuri berkata, misi meraih 75 pingat emas dilihat realistik berdasarkan kepada persiapan rapi diatur Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sejak dua tahun lalu.
Menurut beliau, kontinjen Terengganu di Sukma Sarawak nanti akan diwakili 1,076 atlet, pengurus dan jurulatih dalam 36 jenis sukan yang disertai daripada 37 yang dipertandingkan.
“Antara jenis sukan yang dilihat mampu menjadi ‘lubuk’ atau penyumbang pingat emas terbesar sudah tentu acara berbasikal, pelayaran, judo, kenu, petanque dan ‘ibu’ segala pingat, bola sepak.
“Selain itu juga beberapa jenis sukan juga telah dikenalpasti berpotensi menghadirkan kilauan pingat emas antaranya olahraga kerana kita memiliki atlet prospek yang mampu menyinar.
“Cita-cita Terengganu tahun ini cukup besar merampas gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi enam tahun lalu di Perak dan sasaran awal 75 pingat emas telah diletakkan,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Kontinjen Sukma Terengganu Sempena 100 Hari Menjelang Sukma Sarawak XXI 2024 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, turut diumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen me bumi kenyalang.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, MSNT juga akan meningkatkan kerjasama dengan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) bagi mengekang isu doping daripada berlaku dalam kalangan atletnya.
Menurutnya, kontinjen Terengganu tidak boleh terpalit dengan isu penyalahgunaan bahan terlarang dan persatuan-persatuan sukan dinasihatkan memantau atlet di bawah kendalian mereka.
“Soal ganjaran pula masih terlalu awal untuk kita umumkan, biar atlet-atlet pergi berjuang terlebih dahulu dan baru kita akan tahu,” tambah beliau ketika ditanya jika ada insentif menanti atlet Terengganu. – UTUSAN










