Perak FC mahu bangkit di laman sendiri

Perak FC mahu bangkit di laman sendiri

PERAK FC tumpas dalam aksi sulung Liga Super 2024/2025 kepada Terengganu FC, minggu lalu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH : Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berharap anak-anak buahnya bangkit apabila bertemu PDRM FC di laman sendiri hari ini selepas dikecewakan Terengganu FC dalam aksi sulung Liga Super musim ini.

Yusri berkata, beraksi di Stadium Perak para pemain dituntut untuk meraih tiga mata penuh, sekali gus memberi semangat kepada peminat unutk terus memberi sokongan kepada pasukan.

“Saya melihat kepada kewajiban untuk kami mendapatkan tiga mata pertama dalam liga musim ini.

“Saya faham pemain dalam kesedihan disebabkan kekalahan tempoh hari tetapi mereka  perlu bangkit untuk menghadapi perlawanan dengan PDRM FC,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Yusri juga berharap kesilapan dilakukan pemain semasa beraksi di tempat lawan di Kuala Terengganu minggu lalu, tidak diulangi pada aksi hari ini.

“Yang lalu biarkan berlalu,  jadikan ia sebagai pengajaran. Pemain kena bergerak ke hadapan,” ujarnya.

Beliau yakin anak buahnya sudah dapat melupakan kesedihan dan kekecewaan kekalahan 3-1 kepada Terengganu, berdasarkan bahasa badan ditunjukkan semasa turun menjalani latihan.

“Tumpuan sepenuhnya  perlu dititik beratkan pada perlawanan agar konsentrasi pemain tidak terganggu. 

“Untuk menghadapi pasukan Sang Saka Biru, kami akan mendapat kembali khidmat pemain yang mengalami kecederaan,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN