Masyitah terlepas Kejohanan Perahu Naga Dunia ICF 2024

Masyitah terlepas Kejohanan Perahu Naga Dunia ICF 2024

ADAM Adli Abd. Halim menyampaikan sumbangan Majlis Sukan Negara (MSN) berupa Skim Khairat Atlet Kebangsaan kepada Saloma Ramli, ibu Siti Nurul Masyitah Md. Elias yang cedera parah akibat dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk ketika menziarahi keluarga mangsa di Hospital Colombia Asia, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias yang cedera parah akibat dirempuh pemandu mabuk pada Sabtu lalu akan terlepas untuk menyertai Kejohanan Perahu Naga Dunia ICF 2024 di Filipina, pada 30 Oktober hingga 3 November depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, atlet berusia 22 tahun itu terpaksa melupakan hasratnya untuk menyertai kejohanan dunia buat kali pertama dalam kariernya selepas patah tulang pelvik, bahu kanan serta luka di belakang badan.

“Dia memang dalam persediaan dan mengadakan latihan untuk menyertai kejohanan dunia di Palawan, Filipina itu. Apabila berlaku kemalangan sebegini, dia mungkin terlepas untuk menyertai kejohanan itu.

“Kita akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan dan kesihatan fizikal serta mentalnya,” katanya ditemui selepas melawat Masyitah di Hospital Columbia Asia, di sini semalam.

Adam berkata, tempoh penyembuhan atlet berkenaan dijangka memerlukan tempoh yang lama, namun, beliau yakin pihak hospital akan memberi rawatan terbaik dalam proses rawatan dan pemulihannya.

Kementeriannya bersedia menanggung kos rawatan sekiranya memerlukan kulit import dari luar negara untuk rawatan kecederaan pada bahagian belakang seperti rawatan yang dilakukan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

“Dia seseorang yang kuat, cukup ceria, namun kami tidak bincang berkaitan penyertaannya dalam kejohanan dunia itu, sebaliknya memberi semangat kepadanya untuk terus bangkit.

“Permintaanya hanya satu, ingin menduduki dua lagi kertas peperiksaan semester akhir di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan kami berharap  dipertimbangkan kerana dia boleh membaca, menulis dan berbual serta menggerakkan anggota badannya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×