KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim (KDN) FC mahu memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka ketika berdepan Sabah FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.
Ketua Jurulatih KDN FC, Park Jaehong berkata, kemenangan di laman sendiri itu sangat penting buat Skuad Kijang Emas selepas kalah 0-1 kepada Sri Pahang FC pada perlawanan pertama di Temerloh minggu lalu.
“Sudah tentu perlawanan ini cukup penting buat kami setelah kekalahan kepada Sri Pahang. Saya mengharapkan kebangkitan daripada barisan pemain untuk kita memungut tiga mata pertama dalam saingan liga musim ini.
“Kami sudah ada perancangan serta memberi fokus kepada usaha merencana jentera serangan pada sesi latihan supaya lebih tajam dan mampu menghasilkan jaringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu tetap akan mengambil sikap berjaga-jaga kerana menyedari kekuatan serta kualiti yang ada pada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu.
“Saya dan seluruh pasukan menyedari pasukan lawan dibarisi oleh pemain-pemain kebangsaan serta bertaraf bintang dan kualiti pasukan dari Borneo itu memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Justeru saya bersama pihak kejurulatihan pasukan akan menyediakan barisan pemain terbaik untuk cuba memenangi perlawanan pertama Sang Kijang Emas di laman sendiri malam esok,” ujarnya.
Sebelum ini Utusan Online melaporkan hasrat Sri Pahang FC untuk memulakan saingan dengan kemenangan tercapai apabila menewaskan KDN FC 1-0 di Stadium MPT, Pahang pada 11 Mei lalu.
Manuel Hidalgo muncul wira skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan dengan menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-63 selepas Kpah Sherman dijatuhkan oleh pemain KDN FC.-UTUSAN










