Hafiz, Gillian juara boling Terbuka Malaysia

Hafiz, Gillian juara boling Terbuka Malaysia

JUARA kategori lelaki, Muhammad Hafiz Zainuddin dan juara kategori wanita, Gillian Lim pada perlawanan akhir Kejohanan Boling Terbuka Malaysia 2024, di Sunway Mega Lanes, di sini, semalam. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain tenpin boling negara, Muhammad Hafiz Zainuddin dan Gillian Lim melakar kejutan apabila muncul juara kategori individu lelaki dan wanita dalam kejohanan Boling Terbuka Malaysia 2024.

Hafiz yang berdepan kesukaran sepanjang kejohanan tersebut sebelum muncul juara selepas melakukan 234 jatuhan pin menewaskan seorang lagi wakil negara Syafiq Ridhwan di aksi final.

“Ini merupakan gelaran pertama dalam karier saya. Saya menghadapi Lorong yang sukar sebab semalam saya bergelut dengan prestasi. Namun, saya berjaya mengatasinya dengan menukar bola dan prestasi saya kembali baik,” kata Hafiz.

Walaupun sudah mencipta kejayaan namun, Hafiz berkata itu bukan bermakna namanya sudah berada dalam pasukan kebangsaan bagi menghadapi Tenpin Boling Asia 2024 di Bangkok, Thailand pada September depan.

Sementara itu, Gillian muncul juara kategori wanita selepas melakukan jatuhan 235 pin untuk menewaskan juara bertahan kejohanan, Lavinia Kho Jia Jie.

Gillian berdepan tugas berat apabila perlu menewaskan juara dunia, Natasha Roslan di peringkat separuh akhir kejohanan.  

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui bukan mudah untuk beliau mencipta kejayaan tersebut memandangkan lawan yang dihadapi merupakan nama besar dalam arena boling negara.

“Saya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan lorong beberapa hari lalu namun, lama-kelamaan saya menemui rentak dan momentum.

“Saya cuba untuk menempatkan diri di tiga pemain teratas dan seterusnya ke final. Masa pertandingan saya agak gemuruh kerana Natasya merupakan juara dunia manakala Lavinia adalah juara bertahan,” katanya.

Kejayaan tersebut pastinya menjadi tonik terbaik buat Gillian yang akan beraksi di Terbuka Singapura pada 25 Mei hingga 8 Jun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN