SHAH ALAM: Tahap kesihatan pemain sayap kiri Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim bertambah baik dan telah dipindahkan wad biasa bermula hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, proses pemulihan Faisal sangat positif dan beliau juga bersemangat pulih seperti sebelum ini.
“Saya hampir setiap hari berbual dengan Faisal dengan nota suara (voice note) melalui Whatsapp.
“Percakapan Faisal semakin lancar dan ini satu perkembangan yang cukup baik dan dia dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) kr wad biasa hari ini.
“Selera makan dia juga semakin bertambah dan Faisal cakap dia nak makan nasi kandar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Faisal hari ini.
Faisal dimasukkan di hospital swasta di sini selepas melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian pada 5 Mei lalu.- UTUSAN









